Wednesday, July 9, 2008

Mungkinkah

Seribu kenangan mengusap lembut
Dengan pegangan erat
Tanganku dikau sambut
Tak kau biar diriku hanyut
Dalam kegelapan, dalam kesuraman
Dalam kesunyian, dalam tangisan
Mengapa harus kau dikunjung tamu
Dikunjung tamu membawa maut

Meskipun kita berjauhan
Dirimu kurasakan dekat
Walau tak kutahu mana pergimu
Aku pasti kau di singgahsana
Sedang beristirehat
Beristirehat dengan selamat

Dihatiku...
Kasihmu kusemat erat...

Mungkinkah kita bersua kembali
Mungkinkah kasih kita tetap sama
Adakah diriku dikau kenali
Mungkinkah bibirmu menyebut namaku
Dengan kasih
Dengan sayang
Dengan manja

Seperti dahulu...

Wednesday, December 19, 2007

Pengajaran: Pemakanan Sihat (1E)

Renungan

  • Guru perlu waspada tentang jenis soalan yang dikemukakan kepada para pelajar. Soalan-soalan perlulah condong kepada yang berbentuk HOT (high order thinking) atau soalan dari jenis aras pemikiran yang tinggi
  • Penerangan haruslah ringkas tetapi padat. Usah buat penerangan yang terlampau panjang
  • Seandainya waktu sudah suntuk, guru harus bijak mengadaptasi pengajaran iaitu meninggalkan perkara-perkara yang kurang penting dan mengutamakan apa yang perlu
  • Para pelajar boleh menulis jawapan mereka seandainya mereka malu untuk bersuara

Renungan

  • Seandainya pelajar diberikan teks yang berbeza, adalah lebih sukar untuk mereka berbincang. Mereka boleh sekadar bertukar maklumat.
  • Pemberian teks yang berbeza boleh dirangkum di bawah kategori 'peer teaching' di mana para pelajar berkongsi maklumat tentang apa yang mereka sudah baca
  • Seandainya guru terpaksa mengulang arahan berkali-kali, mungkin teks yang diberikan atau aktiviti yang harus dijalankan oleh para pelajar terlalu sukar untuk mereka fahami

Renungan

  • Guru boleh menggunakan 'movie maker' untuk memperlihatkan babak-babak tertentu dalam klip video atau wayang gambar.
  • Perlu kurangkan penggunaan perkataan Inggeris sewaktu mengajar
  • Memberikan setiap pelajar 'learning log/status report' supaya mereka boleh memantau perkembangan diri sendiri tatkala membuat kerja berkumpulan

Sunday, September 23, 2007

Dwi Bahasa

Memang sukar untuk berbual dan menulis dalam Bahasa Melayu seandainya tidak dibiasakan. Aku sangat beruntung kerana mempunyai atuk dan nenek yang kerap berbual dalam bahasa Melayu denganku sejak kecil. Mak dan bapak pula berbahasa Inggeris. Seandainya aku mempunyai cahaya mata, aku ingin dia mempelajari bukan sahaja Melayu dan Inggeris dengan fasih tetapi Bahasa Cina dan Arab :)

Thursday, August 9, 2007

Hari Kebangsaan

Aku gembira melihat keseronokan yang menyelubungi Sekolah Menengah Boon Lay sewaktu meraikan Hari Kebangsaan 2007. Alangkah indahnya jika setiap hari di sekolah begitu menggembirakan. Terharu sungguh mendengar para pelajar menyanyikan lagu kebangsaan dengan suara yang lantang. Mungkin ada yang bergurau tetapi aku tetap rasa tersentuh kerana jarang sekali dapat mendengar pelajar-pelajar bahkan guru-guru menyanyikan lagu kebangsaan dan membaca ikrar dengan penuh semangat!

Wednesday, July 25, 2007

Mencari dalam gelap

Meskipun ada beberapa pelajar yang mencabar kesabaranku, aku masih menyayangi mereka. Aku sedar bahawa kemarahanku bukanlah terhadap mereka tetapi terhadap kenakalan mereka.

Cuma yang aku kesal adalah mereka tidak menyayangi diri mereka sendiri. Semua pelajarku mempunyai potensi. Mereka bijak dalam pelbagai bidang dan mata pelajaran. Aku masih tertanya-tanya tentang sama ada mereka sedar bakat yang mereka miliki.

Aku kecewa melihat para pelajarku yang tenggelam dalam alam yang membawa kepada kemusnahan diri sendiri. Mungkin suatu hari nanti, mereka akan sedar. Cuma yang aku khuatirkan, adakah mereka akan terlambat? Aku tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada mereka kerana kealpaan mereka.